Gambar-Gambar Lebah Madu

Wednesday, May 16, 2012

Kajian Madu Pada Kesihatan


                                  KAJIAN MADU PADA KESIHATAN 

Madu Lebah & Diabetes (Kencing Manis)

Apa itu Kencing Manis atau Diabetes Mellitus (DM)

Kencing Manis ialah satu keadaan di mana badan tidak dapat menghasilkan hormon insulin yang secukupnya atau badan tidak dapat bertindak balas terhadap insulin dengan sempurna. Insulin berfungsi dalam pengawalan glukosa dalam badan. Dalam DM, paras glukosa akan meningkat yang akan menghasilkan beberapa gejala dan komplikasi.Antara gejala DM ialah kencing banyak, sentiasa dahaga, kekurangan berat badan dan keletihan. DM yang berpanjangan dapat menimbulkan komplikasi-komplikasi seperti masalah mata, buah pinggang dan saraf.

 Madu Lebah

Madu Lebah adalah cairan manis yang dikutip oleh lebah dari bunga dan daun pokok lalu dikumpulkan di sarang mereka. Antara kandungan utama ialah air, fruktosa dan glukosa. Madu juga kaya dengan vitamin dan bahan-bahan anti-oksidan seperti katalase, flavonoids, carotenoid.Madu telah lama digunakan dalam penjagaan kesihatan dan pengubatan penyakit. Oleh kerana madu kaya dengan gula dan Kencing Manis pula penyakit yang berkaitan dengan peningkatan paras gula dalam darah, maka terdapat berbagai pendapat berkenaan dengan penggunaan madu oleh pesakit Kencing Manis. Kajian-kajian saintifik dapat membantu untuk melihat kesab penggunaan madu oleh pesakit kencing manis.


 Indeks Glisemik (GI)

GI adalah satu faktor ukuran kesan peningkatan gula dalam darah oleh makanan. Makanan yang mempunyai GI yang rendah adalah baik untuk pesakit kencing manis. Madu mempunyai GI yang lebih rendah dari makanan karbohidrat seperti nasi putih, roti dan ubi kentang.
Kajian perbandingan kesan peningkatan paras glukos dalam darah pesakit kencing manis menunjukkan peningkatan selepas pengambilan madu adalah lebih rendah dari selepas pengambilan glukosa dan sukrosa.









Madu dan Komplikasi Kencing Manis (DM)

Dalam kajian yang melibatkan tikus yang diaruh menjadi DM, tikus yang diberi madu mempunyai paras agen oksidan yang lebih rendah berbanding dengan tikus yang tidak diberi madu. Ginjal tikus DM yang diberi madu menunjukkan kerosakan yang minima berbanding tikus yang tidak diberi madu.


Kesimpulan

Penggunaan madu oleh pesakit kencing manis dapat membantu pengawalan penyakit dan kemungkinan melambatkan penghasilan komplikasi kencing manis seperti kerosakan saraf, masalah mata dan masalah buah pinggang


Sumber Oleh:-
Dr Mohd Suhaimi bin Ab Wahab (USM)

Madu Lebah & Kesihatan Reproduktif Lelaki

Madu lebah adalah satu bahan semulajadi yang dihasilkan oleh lebah. ianya dihasilkan dari manisan atau nektar yang dihisap oleh lebah pada bunga-bungaan dan pucuk daun muda. Manisan yang telah dihisap disimpan dalam pundi manisan. Ia kemudiannya disimpan di dalam sarang lebah sehingga matang. Warna dan kandungan madu adalah berbeza mengikut jenis bunga dan pucuk daun pokok yang dihinggap oleh lebah. Secara umumnya, madu mengandungi air, gula seperti glukos dan fruktos, enzim seperti katalase dan glutathione reduktose, zat mineral seperti zat besi, zink dan kalsium, vitamin seperti vitamin A, C, dan E serta antioksidan seperti flavanoid dan asid phenolik.

Penggunaan madu dalam kesihatan telah lama diamalkan sejak zaman dahulu. Sejak akhir-akhir ini, minat dan kajian mengenai madu ini dalam perubatan telah mendapat perhatian oleh para penyelidik di seluruh dunia termasuklah penyelidik dari universiti tempatan. Penggunaan dan kajian madu dalam pengubatan luka, lecur akibat kebakaran dan infeksi kuman telah dilaporkan. Walaubagaimana pun, kajian mengenai madu ke atas kesihatan reproduktif lelaki amat kurang dilaporkan walaupun terdapat penggunaan madu ini secara tradisional untuk kesihatan reproduktif lelaki di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia.

Kesihatan reproduktif lelaki selalunya dikaitkan dengan kesuburan lelaki dalam menghasilkan anak atau zuriat. Kesuburan ini adalah bergantung kepada keupayaan seseorang lelaki itu memindahkan spermanya ke dalam organ reproduktif perempuan di mana sperma tersebut berupaya untuk mempersenyawakan telur atau ovum untuk membentuk anak atau zuriat. Perkara ini secara saintifiknya bergantung kepada struktur dan fungsi organ reperoduktif yang normal sama ada pada lelaki atau perempuan. Pada lelaki, organ reproduktif yang penting adalah testis, epididimis, kelenjar prostat, kelenjar vesikel semen dan zakar.

Di India, terdapat amalan dalam perkahwinan tradisional mereka bahawa pengantin lelaki diberi madu lebah untuk meningkatkan stamina. Malaha ada yang mengambil madu bersama jus halia atau bawang putih dan telur mentah setiap malam untuk meningkatkan kelakian mereka. Di Great Britain, madu diperam menjadi arak yang dinamakan "Mead" dan terdapat amalan di kalangan pengantin lelaki dan perempuan yang mengambil madu dan mead tersebut pada beberapa minggu pertama perkahwinan. Di Malaysia, terdapat amalan tradisional di mana madu lebah diambil bersama bahan lain seperti telur ayam kampung, bawang merah, rempah ketumbar dan buah kemiri. Ianya dipercayai untuk memekatkan air mani, meningkatkan tenaga seksual serta mengelakkan air mani cepat keluar.

Setakat ini masih belum ada laporan kajian saintifik yang dijalankan ke atas pesakit. Walaubagaimana pun kajian ke atas tikus jantan yang normal telah menunjukkan bahawa pemberian madu lebah dari Palestin dan Malaysia masing-masing selama 3-4 minggu telah meningkatkan bilangan sperma. Kajian juga telah dijalankan pada tikus jantan yang juga didedahkan kepada asap rokok. Di dapati pemberian madu lebah dari Malaysia telah meningkatkan peratus tikus jantan yang berupaya untuk memindahkan kepada tikus betina dan seterusnya berupaya menghasilkan anak. Selain dari itu, terdapat peningkatan pada paras testoterone dan bilangan sperma yang dihasilkan serta pengurangan peratus bentuk sperma yang tidak normal. Paras antioksidan di dalam testis tikus tersebut telah meningkat dan kesan toksik ke atas sel pada testis juga berkurang. Ini menunjukkan pemberian madu lebah dapat mengurangkan kesan toksik asap rokok ke atas kesihatan reproduktif tikus jantan.

Kajian saintifik tersebut yang dilakukan dengan menggunakan model haiwan iaitu tikus didapati menyokong kepercayaan tradisional mengenai kebaikan penggunaan dalam kesihatan reproduktif lelaki. Walaubagaimana pun, kajian ke atas pesakit adalah amat perlu untuk memastikan keberkesanan penggunaan madu ini di samping menentukan dos dan cara pengambilan yang berkesan.


Sumber Oleh:-
Dr. Mahaneem Mohamed (USM)

No comments:

Post a Comment