Gambar-Gambar Lebah Madu

Thursday, May 17, 2012

Madu Dari Perspektif Perubatan



Raja segala penawar

Ia diberikan pelbagai gelaran termasuklah, 'minuman daripada segala minuman dan ubat daripada segala ubat'. Apakah rahsia di sebalik cairan kental yang diperoleh daripada lebah ini?
Madu mengandungi pelbagai mineral dan vitamin yang baik untuk kesihatan

PERUBATAN herba dan alternatif kini menjadi kaedah rawatan dan penyembuhan yang semakin dapat diterima dalam dunia moden. Dengan pelbagai kajian saintifik tentang manfaat sesuatu herba atau sumber tradisional, ia menambahkan lagi keyakinan orang ramai tentang penggunaannya.

Madu lebah adalah antara sumber alternatif yang mempunyai seribu satu khasiat istimewa. Malah ia diberikan pelbagai gelaran termasuklah, 'minuman daripada segala minuman dan ubat daripada segala ubat'.

Hakikatnya, madu mempunyai sejarah yang panjang bersama evolusi kehidupan manusia. Sekiranya diimbas sejarah silam dan asal-usul madu lebah, ia telah dikenali sejak zaman Firaun yang memerintah Mesir 300 tahun Sebelum Masihi.Kemasyhuran khasiat madu lebah turut tersebar luas sehinggalah ke zaman tamadun Parsi, Greek dan juga Rom.

Malah, sejarah Islam sendiri ada menceritakan kegunaan madu lebah dalam perubatan amatlah masyhur. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 68 hingga 69 surah an-Nahl bahawa madu itu adalah syifa (penawar) kepada manusia.
Rasulullah juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Quran. Baginda bersabda: Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam dunia moden hari ini pelbagai kajian dan konvensyen terbaru diadakan untuk meneliti secara lebih mendalam mengenai khasiat di sebalik cairan kental manis yang dihasilkan lebah ini.
Menurut Dr. Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), madu lebah mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.

Ia juga mengandungi zat-zat seperti kalsium, zat besi, kuprum, magnesium, manganese, fosforus, potasium, sodium dan zink.Madu turut mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3. Komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari yang diperoleh lebah.

Madu berperanan sebagai antioksida dalam badan manusia yang mampu menghapuskan bahan-bahan radikal yang menjadi penyebab utama kepada penyakit-penyakit kronik.Kajian terkini membuktikan, kandungan madu lebah yang terdiri daripada bahan semula jadi pelbagai gula seperti glukos dan fruktos ini mampu meningkatkan stamina, jelas Dr. Susan lagi.

Dalam satu kajian lain, pakar mikrobiologi Amerika, Richard F. Stier mendapati, komposisi unik kandungan madu lebah juga boleh menjadi agen antimikrob untuk merawat kulit yang cedera akibat kebakaran atau luka. Ia juga mampu mengelakkan jangkitan berpunca daripada bakteria.

Fakta ilmiah ini turut diakui para ilmuwan yang bersidang pada Persidangan Apikultur Sedunia (World Apiculture Conference) pada 20 hingga 26 September 1993 di China.

Pada persidangan tersebut dibincangkan perubatan dengan menggunakan ramuan yang berasal daripada madu. Para ilmuwan Amerika mengatakan bahwa madu, jeli raja, serbuk sari dan propolis dapat mengubati pelbagai penyakit.Sementara seorang doktor yang berasal dari Rumania mengatakan, beliau cuba menggunakan madu untuk mengubati pesakit katarak, hasilnya, 2,002 daripada 2,094 pesakitnya sembuh sama sekali.

Berikut adalah manfaat lain madu :
  1.  Membersih dan membuang segala kotoran yang ada dalam darah.
  2. Boleh mengendurkan urat-urat yang tegang, tekanan dan kemurungan.
  3. Boleh menghentikan kesakitan sendi.
  4. Baik untuk sistem pernafasan.
  5. Perut dapat menyerap madu dengan mudah dan segera tanpa diproses di dalamnya lebih dahulu.
  6. Boleh membunuh kuman dan virus dalam darah.
  7. Membaik-pulih dalaman wanita dan memelihara kesihatan kaum lelaki ataupun menambah keharmonian rumah tangga.
  8. Berupaya menghilangkan gatal-gatal pada kulit serta merta dan menghilangkan parut luka dengan segera.
  9. Menjana pertumbuhan otak.
  10. Mencantik, menghalus, melembab dan mengawal keanjalan kulit.
  11. Digunakan sebagai ubat sakit perut.
  12. Menghilangkan kahak.
  13. Memutih dan menguatkan gigi.

Sumber:-
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_05.htm

Wednesday, May 16, 2012

Kajian Madu Pada Kesihatan


                                  KAJIAN MADU PADA KESIHATAN 

Madu Lebah & Diabetes (Kencing Manis)

Apa itu Kencing Manis atau Diabetes Mellitus (DM)

Kencing Manis ialah satu keadaan di mana badan tidak dapat menghasilkan hormon insulin yang secukupnya atau badan tidak dapat bertindak balas terhadap insulin dengan sempurna. Insulin berfungsi dalam pengawalan glukosa dalam badan. Dalam DM, paras glukosa akan meningkat yang akan menghasilkan beberapa gejala dan komplikasi.Antara gejala DM ialah kencing banyak, sentiasa dahaga, kekurangan berat badan dan keletihan. DM yang berpanjangan dapat menimbulkan komplikasi-komplikasi seperti masalah mata, buah pinggang dan saraf.

 Madu Lebah

Madu Lebah adalah cairan manis yang dikutip oleh lebah dari bunga dan daun pokok lalu dikumpulkan di sarang mereka. Antara kandungan utama ialah air, fruktosa dan glukosa. Madu juga kaya dengan vitamin dan bahan-bahan anti-oksidan seperti katalase, flavonoids, carotenoid.Madu telah lama digunakan dalam penjagaan kesihatan dan pengubatan penyakit. Oleh kerana madu kaya dengan gula dan Kencing Manis pula penyakit yang berkaitan dengan peningkatan paras gula dalam darah, maka terdapat berbagai pendapat berkenaan dengan penggunaan madu oleh pesakit Kencing Manis. Kajian-kajian saintifik dapat membantu untuk melihat kesab penggunaan madu oleh pesakit kencing manis.


 Indeks Glisemik (GI)

GI adalah satu faktor ukuran kesan peningkatan gula dalam darah oleh makanan. Makanan yang mempunyai GI yang rendah adalah baik untuk pesakit kencing manis. Madu mempunyai GI yang lebih rendah dari makanan karbohidrat seperti nasi putih, roti dan ubi kentang.
Kajian perbandingan kesan peningkatan paras glukos dalam darah pesakit kencing manis menunjukkan peningkatan selepas pengambilan madu adalah lebih rendah dari selepas pengambilan glukosa dan sukrosa.









Madu dan Komplikasi Kencing Manis (DM)

Dalam kajian yang melibatkan tikus yang diaruh menjadi DM, tikus yang diberi madu mempunyai paras agen oksidan yang lebih rendah berbanding dengan tikus yang tidak diberi madu. Ginjal tikus DM yang diberi madu menunjukkan kerosakan yang minima berbanding tikus yang tidak diberi madu.


Kesimpulan

Penggunaan madu oleh pesakit kencing manis dapat membantu pengawalan penyakit dan kemungkinan melambatkan penghasilan komplikasi kencing manis seperti kerosakan saraf, masalah mata dan masalah buah pinggang


Sumber Oleh:-
Dr Mohd Suhaimi bin Ab Wahab (USM)

Madu Lebah & Kesihatan Reproduktif Lelaki

Madu lebah adalah satu bahan semulajadi yang dihasilkan oleh lebah. ianya dihasilkan dari manisan atau nektar yang dihisap oleh lebah pada bunga-bungaan dan pucuk daun muda. Manisan yang telah dihisap disimpan dalam pundi manisan. Ia kemudiannya disimpan di dalam sarang lebah sehingga matang. Warna dan kandungan madu adalah berbeza mengikut jenis bunga dan pucuk daun pokok yang dihinggap oleh lebah. Secara umumnya, madu mengandungi air, gula seperti glukos dan fruktos, enzim seperti katalase dan glutathione reduktose, zat mineral seperti zat besi, zink dan kalsium, vitamin seperti vitamin A, C, dan E serta antioksidan seperti flavanoid dan asid phenolik.

Penggunaan madu dalam kesihatan telah lama diamalkan sejak zaman dahulu. Sejak akhir-akhir ini, minat dan kajian mengenai madu ini dalam perubatan telah mendapat perhatian oleh para penyelidik di seluruh dunia termasuklah penyelidik dari universiti tempatan. Penggunaan dan kajian madu dalam pengubatan luka, lecur akibat kebakaran dan infeksi kuman telah dilaporkan. Walaubagaimana pun, kajian mengenai madu ke atas kesihatan reproduktif lelaki amat kurang dilaporkan walaupun terdapat penggunaan madu ini secara tradisional untuk kesihatan reproduktif lelaki di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia.

Kesihatan reproduktif lelaki selalunya dikaitkan dengan kesuburan lelaki dalam menghasilkan anak atau zuriat. Kesuburan ini adalah bergantung kepada keupayaan seseorang lelaki itu memindahkan spermanya ke dalam organ reproduktif perempuan di mana sperma tersebut berupaya untuk mempersenyawakan telur atau ovum untuk membentuk anak atau zuriat. Perkara ini secara saintifiknya bergantung kepada struktur dan fungsi organ reperoduktif yang normal sama ada pada lelaki atau perempuan. Pada lelaki, organ reproduktif yang penting adalah testis, epididimis, kelenjar prostat, kelenjar vesikel semen dan zakar.

Di India, terdapat amalan dalam perkahwinan tradisional mereka bahawa pengantin lelaki diberi madu lebah untuk meningkatkan stamina. Malaha ada yang mengambil madu bersama jus halia atau bawang putih dan telur mentah setiap malam untuk meningkatkan kelakian mereka. Di Great Britain, madu diperam menjadi arak yang dinamakan "Mead" dan terdapat amalan di kalangan pengantin lelaki dan perempuan yang mengambil madu dan mead tersebut pada beberapa minggu pertama perkahwinan. Di Malaysia, terdapat amalan tradisional di mana madu lebah diambil bersama bahan lain seperti telur ayam kampung, bawang merah, rempah ketumbar dan buah kemiri. Ianya dipercayai untuk memekatkan air mani, meningkatkan tenaga seksual serta mengelakkan air mani cepat keluar.

Setakat ini masih belum ada laporan kajian saintifik yang dijalankan ke atas pesakit. Walaubagaimana pun kajian ke atas tikus jantan yang normal telah menunjukkan bahawa pemberian madu lebah dari Palestin dan Malaysia masing-masing selama 3-4 minggu telah meningkatkan bilangan sperma. Kajian juga telah dijalankan pada tikus jantan yang juga didedahkan kepada asap rokok. Di dapati pemberian madu lebah dari Malaysia telah meningkatkan peratus tikus jantan yang berupaya untuk memindahkan kepada tikus betina dan seterusnya berupaya menghasilkan anak. Selain dari itu, terdapat peningkatan pada paras testoterone dan bilangan sperma yang dihasilkan serta pengurangan peratus bentuk sperma yang tidak normal. Paras antioksidan di dalam testis tikus tersebut telah meningkat dan kesan toksik ke atas sel pada testis juga berkurang. Ini menunjukkan pemberian madu lebah dapat mengurangkan kesan toksik asap rokok ke atas kesihatan reproduktif tikus jantan.

Kajian saintifik tersebut yang dilakukan dengan menggunakan model haiwan iaitu tikus didapati menyokong kepercayaan tradisional mengenai kebaikan penggunaan dalam kesihatan reproduktif lelaki. Walaubagaimana pun, kajian ke atas pesakit adalah amat perlu untuk memastikan keberkesanan penggunaan madu ini di samping menentukan dos dan cara pengambilan yang berkesan.


Sumber Oleh:-
Dr. Mahaneem Mohamed (USM)

Monday, May 14, 2012

Pokok Akasia (Acacia Mangium) hasilkan madu

Pokok Akasia merupakan pokok yang berasal dari Australia ini dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan penghasilan kayu dan pulpa yang akan digunakan untuk penghasilan kertas. Pokok Akasia juga menjadi kesukaan ebah madu dan madu yang diperolehi dari pokok ini dikenali sebagai Madu Akasia.

Mungkin ada di kalangan kita ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pokok ini. Nama Botanic pokok ini adalah Acacia Mangium. Pada awalnya pokok Akasia sebahagian besar digunakan untuk penggunaan pembuatan di kilang kertas. Terdapat banyak hutan ladang telah didirikan khusus untuk pembuatan kertas sehingga pohon yang baru berumur 3 - 5 tahun pun (diameter 15 - 20cm) sudah boleh ditebang. Pada 10 tahun terakhir ini populariti kayu Akasia sebagai bahan asas bagi perabot semakin meningkat sehingga keperluan pokok Akasia dengan umur di atas 5 tahun semakin tinggi.

Pokok
Tinggi pokok boleh mencapai 30 meter dengan diameter hingga 1 meter. Rata - rata diameter yang bisa digunakan untuk membuat perabot minimum 25cm untuk mendapatkan sampel yang baik. Acacia mangium memerlukan 5 - 7 tahun untuk mencapai diameter 30cm.

Warna Kayu
Kayu teras berwarna dari coklat muda hingga coklat tua kehijauan. Kayu Gubal (sapwood) berwarna krim keputihan, sangat jelas dan mudah dibezakan dengan kayu terasnya.

Ketumpatan
Pada level MC 12% ketumpatan sekitar 450 - 600 kg/m3. Bahagian dan jenis tertentu boleh mencapai hingga 800 kg/m3.

Pada zaman kini,kebanyakan tanaman yang digunakan untuk pembangunan hutan ladang di Malaysia adalah jenis Acacia mangium. Selain itu terdapat juga spesies yang digunakan dalam projek pembangunan hutan ladang dari famili yang sama seperti Acacia hybrid. Spesies ini dipilih kerana memiliki ciri - ciri berikut:
  1. Pertumbuhan yang cepat.
  2. Boleh beradaptasi pada tanah-tanah dengan tingkat kesuburan rendah dan keasidan relatif tinggi.
  3. Menghasilkan kayu untuk bahan utama untuk pulpa dan bukan pulpa. Kualiti pulpa A. mangium setara  dengan kualiti pulpa Eucalyptus yang telah banyak digunakan dalam industri pulpa di seantero dunia kini. Kayu A. mangium juga baik untuk bahan kayu pertukangan.
  4. Penanaman A. mangium mudah, mulai dari pengendalian benih, persemaian, sehinggalah kepada penanaman di lapangan.

Sunday, May 13, 2012

Madu Tualang Sama Taraf Dengan Madu Import

MADU secara semula jadi sangat berkhasiat dengan ia mengandungi gula seperti fruktus dan glukos, mineral seperti magnesium, kalium, kalsium, natrium klorida, sulfur, besi dan fosfat dan vitamin B1, B2, C, B6, B5 dan B3.
Oleh kerana inilah madu merupakan satu daripada ramuan penting dalam perubatan tradisional yang diamalkan oleh pelbagai tamadun sejak berkurun-kurun.

Menurut Prof Dr Nor Hayati Othman, Dekan Kajian Sains Klinikal di Universiti Sains Malaysia (USM), Kelantan, keputusan daripada sejumlah 48 kajian menunjukkan Madu Tualang apabila diminum atau disapu pada luka atau lecur di permukaan badan menawarkan pelbagai manfaat perubatan.

"Walaupun kajian ini masih di peringkat awal, keputusan yang menggalakkan ini menunjukkan Madu Tualang mempunyai unsur anti-bakteria dan anti-oksidan yang boleh memperlahankan pertumbuhan sel barah tertentu dan menghalang pembiakan spektrum luas spesis bakteria dan kulat, selain menjadi sumber tenaga segera bagi tubuh," katanya.

Madu merupakan penawar berkesan bagi masalah sistem penghadaman kerana ia menggalakkan kesihatan usus dan buah pinggang. Madu boleh dihadam dengan mudah kerana molikul gulanya yang kompleks mudah ditukar kepada molikul gula yang lebih mudah. Oleh itu, ia tidak merengsa lapisan pengalas sistem penghadaman dan sebaliknya melegakan perut.

Nor Hayati berkata madu merupakan satu keajaiban semula jadi.
"Ia dengan sendiri makanan yang lengkap. Sebagai pengguna madu sejak 25 tahun yang lepas, saya sangat percaya dengan manfaat Madu Tualang," tambah beliau.

"Madu Tualang turut mengandungi beberapa elemen positif yang tidak terdapat pada madu yang diimport," kata beliau. USM merupakan universiti penyelidikan pertama di Malaysia menjalankan penyelidikan menyeluruh akan manfaat kesihatan bagi madu.

Sumber/Rujukan:-

 http://mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?file=/2010/3/1/mstar_manusia_peristiwa/20100301175302&sec=mstar_manusia_peristiwa

Thursday, May 3, 2012

Pengenalan Lebah Madu




Kenali Lebah di Malaysia
Lebah merupakan serangga penghasil madu yang telah lama dikenal manusia. Sejak zaman purba manusia memburu sarang lebah di gua-gua, di pohon kayu dan tempat-tempat lain untuk diambil madunya. Lebah juga menghasilkan produk yang yang sangat diperlukan untuk dunia kesihatan iaitu royal jelly, pollen, bee wax(lilin), propolis dan MADU. Seterusnya manusia mula menternak lebah madu dengan memakai gelodong kayu dan pada masa sekarang dengan sistem haif.

Kawasan Penternakan Lebah Madu di Malaysia


Di Malaysia kawasan penternakan lebah banyak tertumpu di Negeri Sabah dan Johor. Terdapat juga di kawasan yang menjalankan perternakan lebah secara kecil-kecilan seperti di Pahang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

Rajah 1 : Koloni lebah ternak di Borneo Beefarming Center,Sabah


Jenis-Jenis Lebah Madu 

1. Apis Dorsata
Rajah 1: Jenis-Jenis Lebah
Jenis lebah madu yang terkenal adalah Apis Dorsata yang menghasilkan madu hutan ataupun madu tualang. Apis Dorsata adalah lebah liar suka membuat sarang dipohon-pohon pokok yang tinggi seperti pokok Tualang,Pokok Kekabu dan juga Pokok Petai. 

2. Apis Cerana

Lebah kedua yang hidup secara liar dan berasal dari negara kita adalah lebah keran ataupun dikenali juga sebagai lebah lalat atau Apis Cerana. Apis Cerana adalah spesis yang mudah didapati di kebun kelapa dan juga di dusun-dusun buah-buahan. Walaupun lebah ini adalah lebah liar dengan kemajuan teknologi dan kaedah penternakan yang lebih efektif ditemui lebah liar Apis Cerana diboleh diternak mengunakan haif dan mengeluarkan hasil madu.

3. Apis Mellifera

Lebah ketiga yang terdapat di Malaysia ada lebah import iaitu Apis Mellifera yang dapat menghasilkan madu, bee pollen, royal jelly dan propolis dalam jumlah yang cukup tinggi setiap tahunnya. 
Lebah madu jenis Apis mellifera sering disebut lebah madu Italia. Lebah madu ini sangat popular sebagai lebah madu ternakan di Eropah, Amerika, dan Australia. Sekarang hampir semua penternakan lebah di seluruh dunia menternak lebah jenis Apis mellifera kerana mampu menghasilkan madu dengan jumlah yang lebih tinggi.
Rajah 2 : Apis Mellifera
Apis Mellifera ini lebih mudah diternak, sifatnya yang jinak dan mudah beradaptasi dengan lingkungan sehingga lebah jenis ini tidak mudah meninggalkan sarangnya. Penternak biasanya menternak lebah jenis ini mengikuti musim bunga sebagai sumber makanannya dan menghasilkan madu berdasarkan sumber bunga tersebut. 

Kehidupan Lebah Madu

Lebah madu selalu hidup berkoloni, rata-rata setiap koloni terdapat 60-70 ribu lebah dalam satu sarang. Walaupun populasi yang demikian padat, lebah mampu melakukan pekerjaannya secara terencana dan teratur rapi. Suatu koloni lebah umumnya terdiri dari lebah pekerja, pejantan dan ratu. Lebah pekerja boleh dikatakan menjalankan seluruh tugas dalam sarang iaitu membuat sarang, membersihkan sarang, menjaga sarang, memberi makan larva dan ratu lebah, dan yang utama adalah mengumpulkan madu dan bee pollen sebagai sumber makanannya.
1. Ratu Lebah 


Ratu lebah mempunyai tubuh yang lebih besar dan berat 2.8 kali berat lebah pekerja. Setiap koloni lebah hanya ada satu Ratu Lebah jika di dalam satu koloni ada dua ratu lebah maka keduanya akan saling membunuh untuk mendapatkan kedudukan sebagai ratu lebah.
Rajah 3: Seekor Ratu Lebah yang sedang mengeluarkan telur
Ratu lebah bertindak sebagai pemimpin dan menjaga keharmonian lebah dalam satu koloni. Semua lebah dalam satu koloni akan mentaati ratu lebah, kemana pun ratu lebah pergi, maka satu koloni lebah akan mengikutinya. Selain memimpin koloni lebah, ratu lebah mempunyai tanggung awab untuk meneruskan kelangsungan hidup koloni lebah iaitu dengan cara bertelur sepanjang hidupnya. Ratu lebah mampu bertelur 1500-2000 butir setiap hari..
Ratu lebah mempunyai umur yang lebih lama dibandingkan dengan lebah pekerja. Lebah pekerja berumur sekitar 40 hari tetapi ratu lebah sanggup hidup hingga 3-5 tahun atau sekitar 30x lebih lama dari lebah pekerja.
Rahsia ratu lebah berumur lebih lama adalah disebabkan ratu lebah menggunakan Royal Jelly sepanjang hidupnya. Sedangkan lebah pekerja hanya menggunakan royal jelly selama 3 hari pada ketika menjadi larva.

2. Lebah Jantan
Lebah jantan lebih kecil dari ratu lebah tetapi lebih besar dari lebah pekerja. Ciri-ciri yang menonjol adalah matanya yang besar. Mata itu terdiri dari faset yang lebih banyak dari pada faset pada mata lebah pekerja dan ratu lebah.
Lebah jantan tidak mempunyai sesungut penghisap madu dan juga tidak mempunyai kantung pollen dikakinya. Sehingga lebah jantan tidak bertugas mengumpulkan pollen atau madu, lebah jantan hanya membersihkan sarang, menjaga sarang dan tugas ringan lainya. Fungsi utama lebah jantan adalah untuk mengawan dengan Ratu Lebah. 
3. Lebah Pekerja
Lebah pekerja biasa disebut juga sebagai lebah betina, lebah inilah yang memiliki tanggungjawab pekerjaan sepanjang hidupnya.
Ukuran tubuh lebah pekerja lebih kecil daripada ratu lebah dan lebah jantan. Bentuk tubuhnya ramping warnanya hitam kecoklatan dan ekornya mempunyai sengat yang lurus dan berduri. Dengan sengatnya, lebah pekerja dapat melindungi sarangnya dan menyerang siapapun yang mengganggu.
Lebah pekerja mempunyai tanggungjawab pekerjaan yang berbeza mengikut kesesuaian dengan umur lebah pekerja tersebut. Setelah keluar dari kepompong larva, lebah pekerja terus mempunyai tanggungjawab untuk membersihkan sarang lebah dari kotoran-kotoran, ketika berumur 3-10 hari lebah pekerja ini menghasilkan Royal Jelly yang sangat diperlukan larva lebah dan ratu lebah.
Rajah 4: Lebah Pekerja
Royal jelly yang dihasilkan oleh Lebah muda setelah lebah tersebut menggunakan madu dan bee pollen. Royal jelly dari kelenjar lebah yang berada di sekitar leher lebah tersebut.
Lebah muda ini kemudian bertugas memberi makan larva dan ratu lebah. Perlu diketahui Ratu Lebah menggunakan Royal jelly sepanjang hidupnya.
Setelah lebah pekerja berusia sekitar 3 minggu, lebah tersebut bertugas mencari nektar bunga yang akan diolah menjadi madu dan debunga akan diolah menjadi bee pollen.
Lebah terbang mencari pollen dan madu dengan menghinggapi beribu-ribu bunga yang sedang mekar. Lebah menghisap nektar dengan sesungutnya dan menyimpannya ke dalam kantong madu yang ada didalam tubuhnya.
Untuk memperoleh sekitar 375 gram madu, maka lebah harus berulang-alik sebanyak 75.000 kali untuk mengambil nektar. Untuk jumlah madu yang dikumpulkan sebanyak itu, lebah pekerja menempuh jarak terbang yang setara dengan 4-6 kali mengelilingi bumi. Bayangkan betapa sibuknya sesebuah koloni lebah. Lebah madu boleh mencari nektar sekitar 3 km dari sarangnya.